Assalamualaikum & Hi Semua!

Kali ini saya nak cerita sendiri pengalaman membuat program penurunan berat badan. Bunyi program pun dah teruk. Nak buatnya pun agak teruk jugak la… Berat badan asal saya sebelum kenaikan ialah 65 kg. Berat badan saya mula bertambah secara dramatik sejak saya Tahun 1 di UTM. Dalam tahun 2004 lah kiranya. Dari tahun ke tahun berat badan saya semakin bertambah sehingga saya tidak berasa risau langsung tentang kenaikannya. Punca kenaikan berat badan saya adalah disebabkan kerap makan dengan kuantiti yang sangat banyak! Banyak macam mana? Banyak macam makan seekor ayam sekali hadap. Makan sebiji tembikai sekali hadap. Makan daging lembu berkilo-kilo sekali hadap. Air pulak jangan tak tahu. Setiap hari saya akan minum air manis sahaja pada setiap kali makan. Memang tidak pernah minum air kosong langsung. Air kosong seperti tak wujud dalam hidup saya! Kalau ada event apa-apa yang orang buat dan bagi air mineral dalam goodie bag, memang saya takkan minum air tu! Simpan je atau bagi orang lain. Tapi… Kalau air kotak ke air tin ke, memang cepat saya minum! Air coke paling saya suka. Senaman pulak, memang tak pernah la… Masa sekolah terpaksa bersukan sebab telah dijadualkan. Dah habis sekolah memang takde la. Makan pun dah tak ikut jadual. Jenis makanan pun dah tak dikawal. Kenaikan berat badan saya berterusan sehingga mencecah maksimum 103 kg pada 2014. Lepas tu saya ada rasa takut sikit. Yelah dah 3 digit kan beratnya! Maka itu, saya pun cuma control je berat supaya jangan cecah 100kg lagi. Itu saja target saya. Hahaha

Inilah rupa saya ketika berjisim 103 kg

Sehinggalah pada suatu hari bertarikh 20 Julai 2019, selepas perlawanan futsal agensi kami, saya sempat makan di ofis kami bersama Group Manager saya, Ira sebelum pulang ke rumah masing-masing. Ketika itu, Ira order makanan yang sesuai untuk diet sebab beliau sedang diet ketika itu. Kami pun bersembang-sembang seperti biasa sehinggalah tiba pada conversation ini :-

Ira : Suri, ko suka tak makanan ni?

Suri : Mmm.. Ok. Boleh la makan. Tak lah teruk pun rasa dia.

Ira : Why not cuba ko makan macam ni untuk 30 hari. 30 hari je. Turunkan lah berat tu…

Saya terus bersetuju! Sebab saya rasa tak lah teruk pun makanan diet ni. Saya tak buat-buat diet sebelum ni sebenarnya adalah sebab saya takut selera makan saya tak dapat dipenuhi. Yelah, dah tak boleh makan sedap-sedap. Tak boleh makan banyak-banyak. OMG macam mana? Itu lah menyebabkan saya tak start-start menguruskan badan. Heeeee. Tapi tak tahulah macam mana pada malam itu saya tiba-tiba rasa nak buat lah! Mungkin pada masa itu langit tengah terbuka. Dengan gelombang suara Ira yang merdu mendayu-dayu macam angin sepoi-sepoi bahasa, membuatkan saya rasa terpukau dan akhirnya termakbullah permintaan beliau.

Ini adalah antara gambar yang memotivasikan. Ira tinggi lebih sedikit saja daripada saya. Tapi beliau nampak tinggi dan saya nampak pendek. Hanya kerana berat kami berbeza hampir 38 kg! Jadi saya harap, satu hari nanti saya pun akan kelihatan tinggi juga. Masa ni berat saya lebih 98 kg camtu

Jadi esoknya bermulalah hari pertama saya dalam program menurunkan berat badan yang direka sendiri pada 21/7/2019. Sebelum bermula, sebenarnya saya dah baca-baca la sikit contoh-contoh diet, senaman-senaman yang sesuai, jenis-jenis makanan yang bagus, waktu makan, kuantiti makanan, cara masak dan macam-macam lagilah yang berkaitan dengan usaha menurunkan berat badan. Sebenarnya saya tak fikir banyak sangat untuk program ni. Sebab saya lebih percaya kepada “Tindakan Yang Membuahkan Hasil, Bukan Fikiran”. Saya tidaklah membuat sebarang pengkhususan dalam diet saya. Saya cuba-cuba semua jenis yang ada.

Untuk 30 Hari Pertama, saya memang buat diet No Rice, No Sugar. Senaman pun saya cuma ikut apps Lose Weight in 30 Days. Senaman itu dibuat dengan pola 3 hari senaman 1 hari rehat. Saya amat galakkan anda cuba senaman dalam apps ini sebab ia tidaklah susah sangat dan tahap kesukarannya dinaikkan sedikit demi sedikit. Jadi kita takkan moral down kalau tak dapat buat. Memang kita mampu buat walaupun dengan berat badan yang besar.

Pada mulanya saya ingat diet jenis ini akan berasa seksa. Yelah tak boleh makan nasi kan. Bukan ke selama ni makan nasi hari-hari. Sehari banyak kali pulak tu. Berjenis-jenis. Nasi putih la, nasi lemak la, nasi ayam la, nasi beriani la, nasi kandar la, nasi goreng la. Haaa banyak kan! Pastu tiba-tiba tak makan nasi. Saya ingat ia sukar. Tapi, surprisingly, saya boleh menjalani diet itu dengan selesa. Lauk-lauk, sayur-sayur dan buah semua saya makan macam biasa. Tapi air, memang terus tukar minum air suam. Suam terus. No ice. Sebenarnya saya sendiri pun kagum dengan diri sendiri yang tiba-tiba boleh pulak tak makan nasi dan tak minum air manis. Kenapa boleh? Sebab kunci utamanya ialah KEMAHUAN. Saya yang MAHU turunkan berat badan kan? Jadi, apa pun cabaran dan rintangan, akan tetap saya redah!

Selain no rice, no sugar, saya juga sebenarnya memilih jenis bahan makanan dan cara masakan. Saya tidak makan makanan bergoreng. Semuanya jenis bakar, rebus atau stim saja. Sebenarnya banyak makanan yang saya memang tak gemar. Jadi pilihan makanan saya menjadi lebih terhad. Saya selalu makan dada ayam, ikan salmon, brocolli, kubis, timun. Kadang-kadang tauhu. Semuanya masak sendiri sebab lebih berkesan. Tahu tak? Disebabkan program diet ini jugalah saya belajar masak. Saya sebenarnya memang langsung tak tahu dan tak pernah masak! Wah! Program diet ini menyebabkan saya belajar memasak! Kagum lagi sekali dengan diri sendiri. Saya kurang makan daging merah sebab ia lambat dihadam. Saya lebih memilih ayam atau ikan.

Contoh makanan no rice yang saya makan masa mula-mula. Makan di luar sebab saya tak reti masak langsung
Ini pun makan di luar. Selalunya ikan yang dibakar atau rebus lah
Contoh makanan di kedai mamak atau kedai arab
Contoh makanan di kedai jepun atau kedai korea

Tentang Eat Clean pula, saya tak lah buat betul-betul clean. Ada juga letak perasa-perasa sikit. Minyak memang saya gantikan dengan butter atau marjerin. Olive oil pun sangat jarang saya guna sebab saya memang tak buat masakan bergoreng. Sebab saya kalau goreng selalu jadi hangus. So tak payah lah! Tapi memang kalau ayam, saya ambil bahagian dada saja. Sayur pun selalunya saya celur sahaja atau di makan mentah.

Ini masak sendiri. Semua main pakai oven je. Bakar dada ayam pada suhu 200C selama 20 minit. Ayam tu letak garam sikit je. Saya suka bawang putih. Jadi saya letak serbuk bawang putih.

Selain No Rice No Sugar, diet Suku-Suku-Separuh pun saya ada cuba juga. Diet jenis ini pula saya rasa yang paling membahagiakan. Sebab kita makan saja macam biasa. Cumanya jenis bahan, cara masakan dan kuantiti makanan yang akan menjadi penentu. Dalam sebuah pinggan, mestilah diletakkan suku karbohidrat, suku protein dan setengah sayur + buah. Diet ini sesuai dilakukan oleh semua orang. Tak rasa janggal. Selera pun lebih terbuka.

Contoh makanan harian dengan nasi. Saya punya suku-suku-separuh selalunya tak tepat sangat lah.

Ada 1 jenis diet yang juga pernah saya cuba. Namanya GM Diet. GM Diet dibuat selama 7 hari dan hanya makan jenis makanan yang dibenarkan sahaja. Diet ini juga tak boleh dibuat secara berterusan. Selepas 1 cycle, kena rehat 1 hingga 2 minggu dahulu sebelum memulakan semula diet ini. GM Diet ni bagi saya amat menyeksakan. Walaupun kita boleh makan seberapa banyak yang kita mahu, tetapi 4 hari pertama tanpa sumber protein, boleh buat kepala jadi gila! Hahahaha. Saya tak mampu bertahan dengan diet ini. Saya ada curi-curi makan benda yang tak boleh makan dalam diet ini. Takde protein yang buat saya rasa kalah. Tak boleh tahan woooo… Tapi tidak dinafikan GM Diet memang mempercepatkan penurunan berat badan. Dalam 7 hari saya boleh hilang sekitar 5kg!

Contoh makanan GM Diet. Hari Pertama buah sahaja kecuali pisang. Hari kedua sayur sahaja dan ubi kentang. Hari ketiga sayur dan buah sahaja kecuali pisang dan kentang. Hari keempat pisang dan susu sahaja. Hari kelima daging/ayam/ikan dan tomato. Hari keenam daging/ayam/ikan dan sayur. Hari ketujuh nasi beras perang dan sayur serta jus buah.

Saya tidak buat Intermittent Fasting secara khusus. Tetapi waktu makan saya adalah hampir-hampir sama dengan intermittent fasting. Jadi saya cuma menetapkan jadual makan saya agar konsisten setiap hari pada waktu yang sama. Berikut waktu makan yang saya tetapkan :-

Breakfast – Antara 8-10 pagi

Lunch – Antara 12-2 petang

Dinner – Antara 6-7 petang

Saya tak snacking sebab masa makan, saya memang siap-siap makan buah yang banyak. Macam suku tembikai ke, sebelah betik ke, sebiji oren besar ke, sebiji epal besar ke camtu je.

Saya tidak ambil sebarang makanan selepas jam 8 malam. Saya cuma akan minum green tea saja lebih kurang pada jam 9 malam. Walau bagaimanapun, saya merasakan green tea tidak lah membantu dalam penurunan berat badan. Ia cuma memudahkan pencernaan. Jam 8 malam hingga 10 pagi esoknya kan 14 jam. Dah hampir macam intermittent fasting la kan.

Contoh sarapan. Saya suka telur goyang dengan roti wholemeal sebab akan rasa kenyang lebih lama.
Contoh masakan lunch berasaskan ikan. Semua main bakar dalam oven. Suhu 175C selama 16 minit
Contoh masakan dinner. Kalau nak panggang, saya cuma masukkan dalam kuali tanpa minyak dan tembok. Tu pasal macam ada hitam-hitam sikit tu
Buah-buahan yang saya suka. Saya pernah cuba strawberi tapi saya rasa ia melaparkan. Jadi saya tak amalkan. Tembikai sangat mengenyangkan ya.

Ketika saya dalam program diet ini, sebenarnya ada 20 hari yang saya panggil sebagai breakdown time. Sebab saya terpaksa masuk wad 2 kali. Hujung bulan Ogos sebab Influenza B. Pertengahan Oktober sebab kemalangan. Apabila saya tinggal di wad dan kurang sihat, saya tidak dapat mengamalkan diet saya dengan sempurna. Maka setiap kali keluar wad, berat saya bertambah. Hahaha. Jadi kena kurangkan balik.

Dari segi senaman, saya tidaklah membuat senaman yang berat-berat. Saya cuma buat senaman turun naik tangga saja. Naik la 300-500 anak tangga sehari. Saya tidak pernah jogging. Cuma jalan. Kalau berjalan pun, saya akan berjalan di shopping mall dalam 60 minit. Berjalan di shopping mall adalah pilihan yang baik sebab tak perlu pakai pakaian khas sukan dan tak perlu berpanas atau berhujan. Hanya jalan saja pusing-pusing naik turun tingkat atas bawah. Jalan dalam shopping mall juga adalah lebih selamat kan? Tapi kepada sesiapa yang pantang masuk shopping mall, asyik nak membeli je kejenye, eloklah dielakkan ya. Takut nanti, nak kurangkan berat tapi dengan duit-duitnya sekali jadi berkurang.

Ni konon-konon morning walk la. Kat sini la jugak saya syak saya dapat virus Influenza tu. Hehehe

Dengan cara yang saya buat ni, saya telah hilang 14.1 kg pada hari ke-100 program. Saya berpuas hati dengan penurunan berat setakat ini. Saya memang tidak target untuk turun dengan pantas. Saya cuma target turun 1kg sahaja seminggu. Dan ianya berhasil. Pada hari ini saya berbaki lagi 20 kg untuk dibuang agar mencapai berat badan ideal saya. Saya pasti saya mampu melakukannya. Tetapi untuk 2 bulan akan datang ini, saya akan mula menambah aktiviti senaman untuk membantu penurunan berat badan saya. Senaman yang boleh saya pilih juga agak terhad memandangkan lutut kanan saya tercedera akibat kemalangan pada 13/10/2019. Tahun depan baru lutut saya dijangka pulih. Jadi saya perlu agak berhati-hati dalam melakukan senaman. Buat plank pun tak boleh. Terus sakit balik lutut saya tu!

Bersama Tauke Dr Tuna. Berat saya lebih kurang 85 kg pada masa ni. Macam tak nampak sangat beza. Tu yang nak kena cepat buang 20 kg lagi baru senang nak nampak beza kot.

Sedikit tips untuk sesiapa yang ingin menurunkan berat badan :-

  1. Ciptakan kemahuan yang tinggi dalam diri. Start with an end in mind. Macam saya, sebab saya nak kelihatan tinggi dan sihat. Jadi saya bayangkan saya nampak tinggi apabila saya kurangkan berat badan yang berlebihan.
  2. Jangan paksa diri buat benda yang tak boleh buat. Bermulalah perlahan-lahan kalau tak mampu mengubah terus pola pemakanan. Mulakan dengan kurangkan kuantiti makanan.
  3. Beri masa. Jangan cepat sangat putus asa. Ingatlah, kita nak jadi gemuk pun ambil masa bertahun. Jadi kalau nak jadi kurus pun tak mungkin boleh berlaku dalam masa seminggu. Yang penting, buat sahaja tindakan yang harus di buat untuk turunkan berat badan. Hasilnya lambat tak mengapa. Itu lebih baik daripada tak buat tindakan langsung tapi harapkan hasil.
  4. Sabar dengan dugaan orang terdekat. Mungkin ada orang sekeliling yang memperlekehkan usaha kita nak jadi kurus. Pekakkan saja telinga. Atau jadikan ia sebagai motivasi. Buktikan pada si mulut takde insurans tu, bahawa celaan dia tu salah! Bila kita ada result, dia tu akan tutup mulut sendiri.
  5. Jaga waktu makan. Untuk jadi kurus bukan dengan tak makan. Ini lebih membahayakan. Nanti rasa lapar teruk, dibedalnya makanan sampai tak ingat dunia. Memang tak berjaya lah. Mesti makan pada waktu makan. Kalau lah tak sempat sangat pun, masukkan lah buah ke kacang ke dalam perut tu. Body kita ada fungsi tersendiri pada masa-masa tertentu. Jangan seksa dia.
  6. Banyakkan tidur. Kalori banyak terbakar semasa kita tidur. Jadi tidur yang cukup amatlah penting dalam usaha menurunkan berat badan. Jangan tidur lewat ya!
  7. Cari ilmu. Untuk melakukan diet, carilah ilmu yang bersesuaian. Jangan terlalu hentam keromo. Takut sesat. Boleh rujuk kepada yang lebih pakar seperti doktor, nutritionist, dietician, fitness instructor dan mungkin juga orang-orang yang telah berjaya menurunkan berat badan dengan selamat.
  8. Cari geng. Untuk memudahkan aktiviti nak kuruskan badan, sepatutnya carilah geng yang seangkatan. Sebab geng ini akan bersama-sama menempuhi cabaran dan saling mengingatkan sesama sendiri. Kalau buat sorang-sorang takut kita banyak tuang nanti.
  9. Minum air kosong secukupnya. Air sangat penting dalam badan kita. Kalau air tak cukup, banyak proses tak dapat berjalan lancar. Ianya sedikit sebanyak akan menjejaskan proses menurunkan berat badan. Kalau nak senang, minumlah segelas air sebelum waktu makan dan 2 gelas air selepas waktu makan. Secara tak langsung dah 9 gelas air kita minum. Mudah je kan?
  10. Senaman. Memang kena senaman kalau nak kurus. Janganlah berangan sangat nak kurus tanpa senaman. Ianya agak mustahil. Senaman perlu dalam membetulkan metabolism badan dan menjaga bentuk badan.

Saya doakan kita semua akan berjaya dalam usaha menurunkan berat badan. Perjalanan saya masih panjang. Doakan saya istiqamah ya! InsyaAllah saya akan kongsikan update atau hasil akhir dalam post akan datang. Dijangka awal tahun depan 😝!

Share This:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All right reserved. | Theme: Business Kid by eVisionThemes