Hi & Assalamualaikum Semua!
Kali ini saya rasa saya nak cerita tentang pengalaman saya membeli kereta dari kereta pertama sehingga kereta kelima. Untuk pengetahuan, semua kereta saya beli guna pembiayaan bank. Tiada yang cash. Kira berhutang untuk pakai kereta lah ni… Hehehe
Kita mulakan cerita.
Kereta pertama.
Kereta pertama saya ialah Proton Waja CamPro E warna kelabu. Kereta ini dibeli pada tahun 2007. Masa ni saya adalah pelajar Tahun 3 Kejuruteraan Mekanikal (Teknologi Marin) di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai (UTM). Saya cakap dengan Mak saya, saya nak pakai kereta. Pada mulanya saya nak kereta Myvi yang 1st edition tu. Lepas tu rasa nak Satria Neo pulak. Tapi Mak saya kata, belilah kereta 4 pintu yang besar supaya senang nak angkut barang atau orang. Generally, family saya memang badan agak besar-besar sikit dan kami jenis banyak barang. Kalau bergerak ke mana-mana segala maknika nak bawak. So, kereta dengan muatan yang besar amat digalakkan untuk digunapakai berbanding kereta kecik-kecik macam Satria Neo tu. Disebabkan kereta ni Mak saya yang akan beli/bayar, maka kita akur je lah dengan cadangan beliau yang bernas itu.
Mak saya pun pergi lah kedai Proton dekat Kuala Selangor ni dan buat booking dengan salesperson. Apa nama akak tu pun saya dah tak ingat. Harga kereta tu pada masa tu ialah RM62,888. Proses pembelian kereta ni memang saya langsung tak terlibat sebab saya di UTM dan Mak Ayah saya di Kuala Selangor yang uruskan pembelian. Disebabkan kereta ini untuk saya, jadi Mak saya berkeras untuk letak terus nama pemilik kereta ni atas nama saya. Saya tak tahu menahu tentang urusan hakmilik ataupun urusan pembiayaan pada waktu itu. Almaklumlah masih student yang suci dari loan kan? Yang saya tahu urusan mendapatkan pembiayaan mengambil masa agak lama sikit, sebab loan tu pun atas nama saya yang merupakan seorang student. Dah la student. Tiada rekod pinjaman pulak tu. Memang susah lah bank nak approve, kan? Disebabkan saya student dan dianggap tiada pendapatan maka ibubapa saya kena lah jadi penjamin untuk loan saya tu. Ini lah akibatnya jika Mak kau nak letak nama kau jugak sebagai pemilik kereta dan pembuat loan. Pada hal dia yang bayar. Kan pelik tu? Tapi itulah kenyataannya! Dari sini, saya baru faham, rupanya susah ye nak buat loan? Kalau takde pekerjaan, susah. Kalau takde track record bayar loan pun, susah. OK! Saya dah mula terdedah dengan erti kehidupan sebenar. Bukan semua benda senang je jadi atas dunia ni. Ada benda yang mencabar diri rupanya. Masa ni dah mula ada rasa macam dewasa. Eh! Eh!
Setelah gedebak-gedebuk, begitu-begini, akhirnya pada suatu hari loan dah approved. Maka saya dipanggil untuk tandatangan loan agreement. Saya di UTM waktu ni. Kena tunggu waktu yang sesuai lah untuk saya balik dari UTM, barulah boleh jumpa salesperson yang uruskan loan tu. Sampailah pada suatu hujung minggu, maka pergilah saya dan Mak Ayah saya ke Restoran Seri Kampung di pekan Kuala Selangor untuk sign loan agreement. Restoran ni dulu-dulu kira restoran yang ada aircon la kat Kuala Selangor ni. Kalau dulu tak sampai 5 buah kot restoran yang ada aircon kat Kuala Selangor ni. Sekarang je baru ada dah macam-macam restoran aircon. Seri Kampung ni pulak sekarang dah takde… (so sad)
Setelah sign loan agreement, saya balik ke UTM semula. Yelah saya student kot. Mestilah kena belajar walaupun malas. Sehinggalah sampai pada cuti berikutnya, saya pun balik ke Kuala Selangor. Macam biasa lah. Naik bas LPMS. Bas ni hala ke Teluk Intan. So memang dia akan lalu depan kawasan perumahan saya. Nanti saya tekan lah loceng bila dah dekat depan taman perumahan saya. Turun situ je. Pastu Ayah saya akan amek dekat depan simpang taman rumah tu. Biasanya saya naik bas tengah malam. Gerak jam 10-11 malam. Nanti 2-3 pagi saya sampai la depan perumahan. Tu pasal Ayah saya kena tunggu kat depan tu. Demi keselamatan!
Malam tu, Ayah saya amek saya pakai kereta kancil. So saya tak syak apa-apa la. Sampai je depan rumah, saya nampak ada kereta berbungkus dalam garaj rumah. Eleh…. Mestilah kereta baru kan? Kalau tak, tak kuasanya Mak Ayah saya nak bungkus-bungkus. Haha! So saya tanya la kat Ayah saya, “Kereta baru ke ni?”. Ayah saya jawab, “Entah… tengok la…”
Dia ingat anak dia budak-budak kecik ke ha? So saya tarik je la selimut kereta tu… Trinnnnggggg!!! Yes, kereta baru aku! Tapi! Tapi! Tapi! Kenapa warna kelabu??? Saya order merah kot! Ayah saya kata, warna merah lambat lagi dapat. Warna ni memang dah ada. So amek je la warna ni. Saya pun redha je lah. Sebab memang dah dapat kan? Kau nak meroyan apa? Kereta tu sebenarnya baru di ambil petang tadi.
Begitulah termiliknya kereta pertama saya pada usia 22 tahun. Saya pun gunalah kereta tu ketika belajar sehingga masuk kerja. Bila dah mula kerja, instalment bank tu saya bayarlah sendiri. Masa belajar je Mak saya yang bayar. Adalah dekat 2 tahun kot.
Puas lah kereta ni berbakti kepada saya. Ke sana ke mari. Bawak orang tu bawak orang ni. Pergi sana pergi sini. Sehinggalah pada suatu hari, Ayah saya senyap-senyap pandu kereta saya masa saya tengah tidur. Lepas tu, beliau terlibat dengan kemalangan. Nasib beliau selamat. Orang langgar laju dari belakang. Body belakang belah kiri alami remuk teruk sampai terpaksa di sambung! Bermula dari kes kereta kena sambung ni lah, saya dah ada rasa nak tukar kereta. Satu, sebab kereta ni macam dah tak berapa lurus. Rasa macam ketam sikit-sikit. Dua, sebab kereta ni kalau hujan atau time basuh kereta, air masuk dari bumbung kereta. Habis basah seat belakang. Mungkin pemasangan tak kemas masa sambung tu. Maka ada kebocoran. Mula-mula saya layan je kereta bocor ni. Tapi lama-lama mana tahan kan? Saya pun mula gatal nak tukar kereta.
Nombor pendaftaran kereta ni sebenarnya saya tak kisah langsung. Huruf apa, nombor apa semua saya tak kisah pun. Tiada apa-apa makna bagi saya. Itu pun ada orang ingat saya purposedly beli nombor ni sebab digit 3 tu cantik je mengapit nombor 64 tu. Haha. I don’t care at all!
Kereta ini saya buat full settlement sekitar tahun 2013. Guna duit bonus kerja Northport. So saya merasa juga lah lebih setahun pakai kereta tanpa bayaran instalment. Syok gila bak hang! Memang rasa kepuasan lain macam pakai kereta yang tak perlu bayar!
Kereta Kedua.
Disebabkan dah rasa kurang selesa dengan karakter kereta Waja tu yang macam senget-senget dan bocor, saya pun ada lah tengok-tengok kereta apa nak beli. Sehingga pada suatu hari, saya ke pusat pengimport kereta di KL. Sri Changgong ke apa tah nama. Konon nak beli Mercedes C200 recon. Jalan-jalan pastu berkenan lah dengan satu unit recon ni warna putih UK spec di jual dengan harga RM150,000. Bila dah berkenan, kita pun booking la RM1000 sebelum proceed dengan permohonan loan. Balik rumah, saya pun cerita kat Mak saya, saya dah book kereta Mercedes recon. Sekarang nak proses untuk loan. Lantas Mak saya pun berkata, “Kalau kau nak beli kereta, belilah kereta baru”. Maka fahamlah saya bahawa Mak saya tak suka saya beli kereta recon.
Dengan itu, saya pun cancel booking dan terus ke kedai kereta yang paling hampir dengan rumah saya. Iaitu kedai kereta Kia. Duit booking Mercedes recon tadi tu tak dapat full refund. Dapat RM900 je dengan alasan ada kerja yang sudah dibuat. Eleh…
Sampai di showroom Kia tu, saya pun masuk lah dan tanya pada salesperson wanita Cina tu, apa kereta sedan yang OK untuk saya. Dia pun dengan lajunya menunjukkan Kia Cerato kepada saya. Dia tunjuk lah segala macam features yang ada dekat kereta Kia Cerato tu. Sungguh berteknologi tinggi bagi saya pada masa itu. Banyak teknologi baru ada pada kereta tu yang takde dekat kereta lain pada masa tu. Tahun 2014. Malah jauh lebih canggih dari Mercedes recon yang saya tengok tempoh hari.
Saya rasa amat teruja dengan kecanggihan kereta tu dan tanya harga. Alangkah surprised nya saya bila dia sebut harga kereta tu tak sampai 100k! Harganya pada hari tu ialah RM99,888. Maka saya pun terus setuju nak beli kereta itu dan buat booking. Tak pasti berapa bayar booking. RM1,000 jugak kot. Esoknya saya bagi dokumen-dokumen yang diperlukan untuk apply loan. Dalam 2 hari loan approved walaupun orang bank ada cakap, “ini orang banyak barang looo”. Maksud dia, saya ada banyak loan dalam CCRIS. Dia mungkin tak pasti loan saya boleh approved ke tak. Alhamdulillah approved tanpa banyak songeh. Saya pun memang tak ambil pembiayaan yang tinggi sebab nak kurangkan monthly instalment. So saya bercadang untuk membayar downpayment tinggi hasil duit simpanan dan juga hasil jual kereta Waja. Kereta Waja saya tu patutnya dijual pada harga RM16K. Tapi setelah used car tengok geran ada ujian puspakom pasal kereta kena sambung tu, maka mereka kurangkan terus harga kepada RM12K je. Saya pun redha je lah dah memang kereta kau accident kan? Hehe
Maka pada suatu malam nan permai, saya pun jumpa lah dengan salesperson Kia tu di McDonalds Kuala Selangor untuk sign loan agreement. Masa ni bulan puasa tau. Tu pasal jumpa belah malam. Nombor pendaftaran untuk kereta ni pun saya tak kisah sangat. Salesperson tanya ada nak nombor apa-apa ke? Saya cuma cakap asalkan ada nombor 6 sudah. Sebab saya lahir bulan Jun. Haha… Macam tak strong langsung alasan nak nombor 6 tu. Akhirnya dia beli nombor BMT 5516 untuk saya.
Dua hari sebelum Raya, maka saya pun dapat panggilan bahawa kereta saya dah ready for collection. Saya pun jalan kaki je ke Kedai Kia tu sebab dekat je kan dengan rumah saya. Saya pergi pun sorang je. So no hal kalau jalan kaki pun. Salesperson pun cerita sedikit sebanyak tentang kereta dan akhirnya saya pun memandu pulang kereta baru itu. Kereta Raya katanya…
Saya sangat menyukai kereta Kia Cerato ni. Sebab dia macam canggih. Pada zaman tu, untuk kereta harga camtu, tak banyak kereta yang ada electric seat with memory. Keyless entry with follow me light. Seat auto ke depan ke belakang bila kita keluar masuk kereta. Sensor depan. Rekod fuel lah, service lah dan apa tah lagi yang lain-lain semua electronic. So saya rasa wow! lah time tu. Kereta aku canggih weh. Dah lah rupa dia pun cantik. So saya pun pakai je lah kereta ni dengan penuh kegembiraan. Kereta ini luas sebenarnya. Bootspace dia macam lori. Boleh masuk banyak benda tau!
Kereta Ketiga.
Sehinggalah pada suatu hari, Mak saya minta saya untuk bantu wujudkan sebuah kereta untuk kegunaan kakak saya bekerja. Kakak saya menghadapi ujian hidupnya yang tersendiri sehinggalah beliau tidak mempunyai kereta mahupun rumah. Jadi saya pun suruh kakak saya cari kenderaan yang dia nak miliki untuk pekerjaannya. Maka beliau cari lah sendiri showroom, salesperson dan downpayment. Saya hanya bantu dalam urusan loan saja. Setelah selesai semua booking dan apply loan. Maka approved lah loan atas nama saya. Macam biasa, kena jumpa orang yang urus loan untuk sign loan agreement dan thumbprint apa semua bagai. Di sebabkan kakak saya berurusan di Bangi, maka ke Papparich, Bandar Baru Bangi lah kita sign loan agreement.
Nombor pendaftaran kereta ni lagi lah saya tak ambil kisah sebab kereta ni kan untuk kegunaan kakak saya. So saya biarkan aje dia nak nombor apa. Nampaknya beliau mengekalkan nombor lama sama seperti kereta-kereta beliau sebelum ini. Maka nombor kereta ni ialah WB 9006 F.
Seminggu lepas tu kakak saya kata kereta dah ready for collection. Saya pun kata kat dia, pergi je lah amek kereta tu. Tak payah saya yang amek. Untuk itu, saya kena bagi auhorization letter kepada kakak saya untuk collect kereta bagi pihak saya. Setelah beliau collect kereta tu, baru lah saya tahu rupa kereta itu yang bernama Nissan X-Gear yang dijual pada harga RM89,800 pada waktu itu dalam awal tahun 2015. Bila kakak saya balik kampung, barulah saya first time tengok kereta tu. Hahahaha! Rasa nak ketawa. Basic sungguh kereta ni. Sampai reverse camera pun nonhado! Dalam hati saya, tak canggih langsung pilihan kakak aku ni! Lantak lah asal dia bahagia…
Maka kakak saya pun pakai lah kereta itu untuk bekerja dan mencari rezeki. Sehinggalah sampai pada satu ketika ada perkara yang berlaku kepada kereta ini. Perkara yang panjang untuk diceritakan. So tak payah cerita.
Dari tahun 2015 hingga 2019, setelah macam-macam kisah mengejutkan berlaku terhadap kereta ketiga saya ni, akhirnya sampai lah masa untuk kereta itu dilepaskan! Saya memang kena jual kereta ni supaya saya boleh beli kereta lain pula. Kakak saya juga sudah tidak perlukan kereta ini disebabkan beliau dah ada kereta lain. Sebelum ini, kereta Kia Cerato itu juga telah saya jual dalam tahun 2019 disebabkan sudah mula muncul masalah-masalah pada perkakasan electronicnya. Pandai betul mereka buat kereta. Cukup 5 tahun, warranty dah habis, satu-satu masalah mula timbul. Maka saya rasa time to let go lah. Jual kereta Kia ni saya tidak perlu topup untuk cover loan dan tidak juga dapat wang lebihan atas jualan kereta tu. Kira breakeven aje lah selepas 5 tahun. Dengan itu, saya tinggal satu kereta saja sekarang.
Setelah kereta Nissan X-Gear pula berjaya dijual pada Julai 2020 dengan menambah bayaran RM11,000 kepada bank, maka tamatlah riwayat kereta itu bersama saya. Kenapa kena topup banyak? Sebab kereta ini bukan kereta yang popular atau mendapat demand tinggi di Malaysia. Kereta ini juga sudah pernah kemalangan beberapa kali. Kereta ini juga ada banyak lekuk-lekik pada bodynya. So memang susahlah nak dapat harga tinggi. Tak kisah lah macam mana pun, saya tahu saya memang kena lepaskan kereta ini. 5 tahun juga bersama kereta ni ya… Kini dia ada tuan baru.
Kereta Keempat.
Masa nak beli kereta keempat ni, masa ni tengah PKP. Cabaran dia lain pula. Masalah pada stok. Almaklumlah kilang-kilang banyak stop production. Order semua backlog. Dari tempoh booking sampai dapat kereta, saya perlu tunggu lebih kurang 3 bulan. Kali ini saya cuba untuk pakai kereta hatchback dari pengeluar kereta Jepun yang terkenal dengan barang yang dikatakan berkualiti. Siapa lagi kalau bukan Toyota. Konon nak bersederhana setelah belajar dari Nissan X-Gear, so saya bookinglah Yaris model G yang dijual pada harga RM82,475 pada masa itu.
Yang ni pulak sebenarnya saya dah berurusan dengan salesperson di Kuala Selangor. Pangkat pakcik kot. Saya minta dia uruskan loan application. Saya tak tahu apa masalah dia ni dekat sebulan tak settle! Tak pernah saya apply loan sampai sebulan! Gila ke apa? Saya tak kisah sangat dapat kereta lambat sebab memang stok kena queue kan seluruh Malaysia. So saya dah set mind untuk bersedia dengan delay. Tapi tak sangka pulak bab loan pun tak selesai. Disebabkan saya tak yakin dengan salesperson lemah macam ni, saya pun pergi jumpa salesperson lain di Subang. Pangkat abang-abang kot. Sehari saja loan dah approved! Tak faham saya apa masalah salesperson sebelum ni.
Kali ni untuk sign loan agreement, saya diminta pergi ke Cawangan Maybank, Seksyen 14, Shah Alam. Takde jumpa-jumpa kat kedai makan dah. Pergi bank terus. Saya pun pergi lah ke Shah Alam naik kereta sewa. Memang ada masanya saya sewa kereta untuk kegunaan harian sementara nak tunggu kereta baru. Almaklumlah kereta lama dah jual. So takde kereta. Kena lah sewa kereta.
Kali ini, nombor pendaftaran saya beli sendiri saja melalui MySikap. Saya pilih nombor Keningau sebab dia mula dengan SU. Kebetulan pada masa itu huruf belakangnya ialah F untuk Fitriah lah kononnya. Maka saya perlu nombir 121 untuk membentuk huruf RI. Jadilah SURI F kononnya. Tapi 121 sudah dibeli orang. Saya pun tak kuasa nak fikir beria-ia untuk nombor ni, maka saya ambil keputusan untuk tambah satu digit lagi di depan 121 tu. Bila test-test nampak nombor 8121 macam cantik. Maka saya belilah running number biasa SU8121F dengan harga standard RM310 sahaja.
Pada 1/11/2020 maka terdaftarlah kereta keempat saya ni dan esoknya dah boleh collect. Kat Subang la tapi. Tak boleh la jalan kaki. Maka saya naik lah Grab dari Kuala Selangor ke Subang. Masa ni roadblock masih ketat. Masa ni tak boleh lagi rentas daerah. Tapi bila tengok je e-hailing dan nampak ada penumpang, Polis bagi lepas je lah kan. Mesti la ada urusan kan. Kalau nak tengok bukti pun, takde masalah. Saya boleh tunjukkan delivery note tu untuk saya collect kereta di Subang.
Sampai di showroom, salesperson pun terangkan lah sedikit sebanyak hal kereta begitu begini dan terus ke delivery bay. Saya pun bawak lah balik Yaris G saya tu. Mmmmmmmm… Ada rasa “sesuatu” kekurangan di situ. Tak pasti apa. Mungkin dari segi feeling kot. Kereta ni saya rasa macam “ringan”. Adakah sebab dia hatchback, adakah sebab dia enjin 1.5 biasa, adakah sebab body dia nipis-nipis belaka? Saya tak pasti. Tapi dari segi feeling memang ada rasa “not contented” berbanding kereta-kereta sebelum ini.
Tapi kita layan je lah walaupun ada banyak perkara-perkara kecil yang saya uncomfortable dengan kereta ni. Sehinggalah pada suatu hari, ketika nak buat reverse park di sebuah restoran, saya betul-betul rasa saya mungkin perlu lupakan kereta ini. Walaupun dari segi penjimatan, memang kereta inilah yang paling jimat berbanding kereta lain. Dari segi penggunaan minyak, kos servis, instalment bank etc memang kereta ini sangat menjimatkan saya. Tapi saya ada banyak pengorbanan dari segi emosi pulak. Huh! Tak berbaloi rasanya. Saya perlu jaga hati dan minda saya juga sebab takde siapa nak jaga. Maka itu, saya terus fikir nak cari ganti walaupun kereta ini baru saya gunakan selama 13 bulan. Insurans/roadtax tahun kedua pun, baru sangat renew.
Kereta Kelima.
Setelah lama PKP dan tak berapa keluar dari Kuala Selangor, akhirnya satu hari tu saya balik ke rumah di Kemensah. Bila ke KL tiba-tiba saya sering nampak ada 1 model BMW ni yang menangkap pandangan saya. Mungkin bagi orang lain, kereta ini buruk rupanya. Tapi bagi saya, ia amat cantik. Bila kerap nampak model ini di jalanan, maka saya pun cari lah apakah model BMW ini? Wah, akhirnya dapat maklumat. Model itu ialah model terbaru dalam BMW yang dilancarkan di Malaysia pada Oktober 2020. BMW 218i Gran Coupe M Sport. Jenguk-jenguk di internet tengah-tengah malam, saya dapati kereta ini mempunyai ciri-ciri kereta kegemaran saya. Iaitu, berbentuk coupe, frameless door dan sport rim 5 bucu. Memang itulah saja ciri-ciri kereta kegemaran saya. Saya tidak sangat mementingkan pada kelajuan dan performance. Cukuplah sekadar comfort. Disebabkan harganya tidaklah semahal kereta lain yang mempunyai 3 ciri-ciri yang saya sebutkan tadi, maka saya rasa saya nak miliki kereta ini segera. Saya pun letak nama dan No HP saya di laman web BMW itu untuk dihubungi oleh salesperson mereka.
Esoknya (Khamis) seorang salesperson menghubungi saya pada waktu pagi dan kebetulan saya ada berhampiran dengan showroom BMW di Setia Alam pada hari tu, maka teruslah saya ke sana dan berbincang tentang pembelian kereta ini. Kereta ini dijual pada harga RM211,367. Saya akan jual Yaris G saya sebelum memiliki BMW 218i ini. Petang itu juga terus saya ke MyTukar untuk mendapatkan harga belian kereta Yaris G jika saya menolak kepada mereka. Esoknya pula pihak Carsome datang untuk buat inspection bagi membuat tawaran harga. Akhirnya saya pilih Carsome sebab Carsome tawarkan harga belian yang lebih tinggi berbanding MyTukar. Untuk menutup loan Yaris G saya, saya perlu topup RM8,760 kepada harga belian daripada Carsome. Setuju deal dengan Carsome, barulah saya apply loan untuk kereta baru. 2 hari kemudian, loan approved dan saya perlu segera buat transaksi jualan kereta lama saya. Urusan jualan kereta dan tutup loan Yaris itu selesai pada hari Khamis pagi dan petangnya saya terus sign loan agreement kereta baru di Maybank Selayang.
Hari Jumaat, kereta saya pun sampai ke showroom Setia Alam dari kilang Kulim. Isnin Selasa buat kerja-kerja tinting, waxing, polish, coating semua. Hari Rabu kereta saya pun selamat didaftarkan dan Khamis loan pun disburse. Maka pada hari Jumaat (31/12/2021), boleh lah saya collect kereta terbaru saya ni di Showroom Setia Alam. Sekali lagi saya pergi seorang diri menaiki Grab dari Kuala Selangor dengan menggunakan Grab Voucher yang saya menang ketika jawab soalan kuiz. Sebenarnya tiada seorang pun ahli keluarga saya tahu tentang pembelian kereta ini sehinggalah saya membawanya pulang ke rumah. Hehehe…
Begitulah penutup tahun 2021 saya. Ada “kawan baru” yang akan menemani hari-hari saya dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Nombor pendaftaran kereta ini juga sekali lagi saya beli sendiri melalui MySikap. Memang sengaja saya pilih CEM4525 yang membawa maksud CEMAS sampai tahun 2025! Cemas untuk apa? Kena cemas sentiasa sehingga saya berjaya selesaikan career path saya dalam bidang takaful. Lama sangat dah tertangguh. Ini kali, mesti kasi jadi! Suri, GAM 2026! Doakanlah kesejahteraan dan kejayaan saya ya!
Begitulah cerita pengalaman saya membeli kereta. Secara keseluruhan saya dapat simpulkan, untuk beli kereta kita mesti dah sediakan duit untuk bayar downpayment. Downpayment ni ialah jumlah harga kereta yang tak di loankan. Contoh harga kereta 100K. Ambil loan 70K saja. Maka downpayment nya 30K lah. Downpayment ni boleh jadi tinggi, boleh jadi rendah. Rendah kalau salesperson tengah banyak bagi offer. Harga kereta jadi murah. So downpayment pun jadi rendah. Kalau letak downpayment tinggi, kita akan dapat kelebihan dari segi instalment bank. Sudah tentu bayaran ansuran akan menjadi rendah jika kita meletak downpayment yang tinggi. Saya pernah bayar downpayment RM30K untuk Kia Cerato tu hanya kerana saya nak instalment bulanan yang rendah. Tapi fikir-fikir balik macam tak berbaloi sangat pun buat macam tu. Cuma kita dapat cashflow positif yang lebih la setiap bulan sebab kita tak perlu bayar tinggi untuk kereta. Selain downpayment, harga insurans dan roadtax juga perlu disediakan. Ada orang masukkan sekali nilai ini dalam loan. Tapi saya secara peribadi kurang gemar buat begitu. Kos insurans dan roadtax sentiasa saya bayar guna duit sendiri. Supaya kita tahu dan beringat bahawa kita ada kos tahunan yang perlu disediakan. Kalau tak praktis dari mula, takut terkejut beruk je tahun depannya. Haha.
Secara peribadi, saya memang bukan seorang yang nak sangat cari keuntungan dengan kereta. Saya memang menganggap kereta adalah antara barang yang “gunahangus”. Makna memang takde value sangat lepas digunakan. Sebab itu, saya tak berapa memandang kepada resale value sesebuah kereta. Tengok brand yang saya pilih pun dah tahu kan, kebanyakan kereta pilihan saya (kecuali Toyota Yaris) adalah kereta-kereta “sejuk” . Iaitu kereta yang susah nak dijual. Tak dapat sambutan. Dan perkara ini memang saya akui apabila saya nak menjual semula kereta-kereta ini. Memang tak semudah menjual semula kereta jenama H dan P2. Walau bagaimanapun, sekiranya anda memang faham risiko low resale value kereta anda tu, anda tak kisah pun. Yang anda tahu, anda berpuas hati memakai kereta yang anda pilih.
Jadi, dalam hidup atas dunia ni, sebenarnya tak perlu lah terkesan sangat dengan kebiasaan orang-orang sekeliling. Kita tak semestinya sama dengan semua orang lain. Yakinlah dengan keunikan diri sendiri. Your mind wellness tu penting juga. Hehehe
Tentang freegift pula, saya memang tak pernah tanya mahupun minta freegift daripada salesperson saya. Sebab saya sendiri juga adalah orang yang terlibat secara langsung dalam bidang jualan. Jadi saya tahu freegift-freegift itu bukan datang dari syarikat. Benda itu datang dari poket salesperson itu sendiri. Sudahlah nak dapatkan satu jualan pun bukanlah perkara mudah sangat, apalah salahnya beri mereka komisen penuh tanpa perlu kita cukai sikit buat diri kita. Mereka pun cari nafkah untuk diri dan keluarga. Jika tak perlu ambil bahagian mereka, tak perlulah ambil. Jika mereka nak beri atas inisiatif sendiri, terimalah dan ucapkanlah terima kasih. Tapi tak perlulah benar-benar mengharapkan freegift daripada salesperson.
Berkaitan rate untuk loan, memang tak dinafikan semakin lama semakin rendah rate nya. Walau bagaimanapun, loan rate ni dipengaruhi oleh banyak faktor termasuklah jenama kereta, kereta baru atau recon atau second hand, kedudukan CCRIS, promosi bank, credit score dan mungkin juga hubungan baik di antara salesperson kereta dengan salesperson loan bank. Jadi boleh lah cuba kepada 1-3 bank yang paling hot di kalangan salesperson kereta itu pada ketika itu. Tak perlu hantar application terlalu banyak.
Dari segi layanan di showroom, sebenarnya takde lah beza mana layanan mereka. Mungkin keadaan showroom tu saje yang membezakan. Showroom baru dan moden mestilah lebih menarik dan lebih banyak fasiliti kan? Pendapat peribadi saya, sebenarnya kalau benar-benar nak layanan tip top gila-gila, jadilah orang kenamaan sekitar tahun 1990-an dan sebelumnya. Selepas dari tu, sebenarnya servis yang kita terima takde lah beza sangat antara kelas atasan dengan kelas biasa. Kecuali kita ni Agong ke apa kan. Kalau tak percaya, cuba pergi ke hospital-hospital swasta atau hotel-hotel mewah sekarang. Bayaran mahal terlampau tu kadang-kadang tak berbaloi atau tak padan dengan servis yang diberi.