Perjalanan Ke Arah Shariah Registered Financial Planner

Pada bulan Mei 2022, saya telah menyertai satu course untuk mendapatkan credential sebagai Shariah Registered Financial Planner (ShRFP). Course ShRFP yang saya ambil ni adalah jenis Capstone. Dalam course ShRFP-Capstone ini, calon-calon mestilah mempunyai pengalaman dalam industri kewangan sekurang-kurangnya 3 tahun dan merupakan pemegang ijazah sarjana muda (Degree) dalam bidang berkaitan kewangan. Jika tidak memiliki Degree dalam bidang berkaitan kewangan, pengalaman sekurang-kurangnya 5 tahun dalam bidang kewangan diperlukan.

Permohonan sebagai peserta boleh dibuat melalui website Malaysian Financial Planning Council (MFPC). Sebaik sahaja permohonan diluluskan, bayaran untuk course ini perlu dibuat terus secara online untuk mengesahkan tempat dalam course. Masa saya sertai course ni, kami hanya seramai 11 orang sahaja. Kebanyakannya adalah agen takaful dari pelbagai syarikat. Ada dari Zurich, AIA dan saya dari Great Eastern. Ada juga 2 orang dari Capsring Temasik Financial Group. Mereka masih bergelar sebagai associate di sana kerana belum sempurnakan course ShRFP ini. Selepas lulus ShRFP ni nanti, mereka boleh upgrade position kepada Adviser di Capsring Temasik.

Tujuan saya menyertai ShRFP ini adalah untuk mendapatkan pengiktirafan professional dalam bidang kewangan memandangkan saya bukan berlatar belakangkan kewangan. Saya merupakan graduan dalam bidang kejuruteraan. Memandangkan saya sudah 10 tahun dalam industri takaful yang merupakan salah satu cabang bidang kewangan, maka itu saya ingin memiliki pengiktirafan professional dalam bidang kewangan ini. Selain itu, saya juga sangat berhajat untuk memberi nilai tambah kepada para client saya kerana memiliki seorang agen takaful yang mempunyai kredibiliti untuk memberi nasihat kewangan secara holistik. Setakat ini, saya belum ada perancangan untuk convert diri saya daripada Agen Takaful kepada Financial Adviser walaupun saya akan bergelar ShRFP nanti.

Saya memilih untuk menghadiri kelas ShRFP ini secara fizikal berbanding online. Maklum sajalah sudah 2 tahun aktiviti secara bersemuka menjadi terhad atas faktor nak mengurangkan jangkitan Covid-19. Apabila saya nampak MFPC sudah mula tawarkan course secara bersemuka, cepat-cepat saya daftarkan diri! ShRFP-Capstone ini dilangsungkan selama 6 hari sahaja. Ada 7 modul semuanya. Selepas tamat kelas untuk semua modul, kami perlu menyiapkan 1 project paper iaitu sebuah Financial Planning Report yang mengandungi semua analisis dan recommendation berkaitan kewangan yang perlu dilakukan oleh seseorang untuk mencapai financial objectives masing-masing. Selain itu, kami juga perlu menduduki peperiksaan bertulis secara online yang mengandungi 100 soalan. Untuk lulus keseluruhan course ShRFP-Capstone, kami perlu lulus peperiksaan bertulis dan lulus project paper. Kedua-dua passing mark adalah 50/100.

Berikut saya kongsikan topik bagi 7 modul dalam ShRFP-Capstone :-

Keenam-enam hari ini kami belajar di MFPC sendiri. Tingkat 21 Menara 1 Mont Kiara. Makanan tidak disediakan. Jadi kena arrange sendiri untuk sarapan dan makan tengahari. Boleh makan di 1MK mall itu saja, kawasan berhampiran 1MK, bawa bekal sendiri atau nak order grabfood/foodpanda/shoppeefood. Tapi kalau nak minum-minum tu adalah pantry yang sediakan minuman 3 in 1, air coway dan biskut. Surau juga hanya gunakan surau di 1MK mall juga. Parking juga hanya gunakan parking lot untuk 1MK mall. Kadarnya RM2 sejam. So kalau kelas dari 9.00 pagi hingga 5.oo petang, lebih kurang RM20 sehari. Jika nak jimat, boleh parking di bangunan mall berhadapan 1MK. Situ boleh dapat RM9.00 sahaja tapi kena jalan sikit lah ke 1MK. Saya malas.

Bersama trainer modul 1 dan 2, Encik Hazrie

Bersama trainer modul 3, Encik Alwi

Trainer modul 4, Dr Tan

Bersama En Anuar, trainer modul 4 dan 5

Bersama trainer modul 7, Dr Zaemah

Kelas kami pada masa itu terbahagi kepada 2 minggu berturut-turut. 3 hari seminggu pertama dan lagi 3 hari seminggu kedua. Hari Selasa, Rabu dan Khamis. Untuk minggu pertama saya menginap di Dorsett Hartamas dari Isnin hingga Khamis. Tujuan saya bermalam di kawasan yang berhampiran adalah kerana saya tidak mahu menempuh kesesakan lalulintas ketika datang dan pulang dari kelas. Saya tidak mahu tumpuan saya menjadi lemah disebabkan terpaksa keluar awal dan menempuh jem dan bersesak-sesak pula ketika pulang. Maklum sahaja lah, kalau jadi pelajar dewasa ni, tak sama macam ketika kita jadi pelajar di universiti sewaktu muda dulu. Sebelum ke kelas, saya akan bersarapan dahulu di hotel. Untuk makan malam pula, saya hanya makan di restoran berhampiran Dorsett itu saja, Plaza Damas. Jarak dari Dorsett ke MFPC office adalah lebih kurang 2km. Tapi perjalannya agak kurang menarik sebab terpaksa pusing macam buat bulatan. Makanya saya decide tak mahu tinggal di Dorsett lagi minggu depan. Dah la kena bayar hotel, kena drive, kena bayar parking di 1MK lagi. Kurang menarik rasanya. Haha..

Bagi minggu kedua, saya menginap di hotel yang lebih hampir dengan MFPC, cuma jalan kaki! Nama hotel tu Signature Hotel. Ia terletak betul-betul berseberangan dengan MFPC office di Menara 1MK tu. Minggu kedua pun sama, saya bersarapan dahulu di hotel kemudian baru lah berjalan kaki ke kelas ShRFP-Capstone. Saje lah feeling-feeling macam student. Hehe… Minggu kedua lebih tenang sebab tak perlu drive. Untuk makan malam, saya beli siap-siap lepas kelas sama ada di 1MK atau mall berhampiran dengannya dan makan di bilik saja. Di hotel ini tiada restoran halal. Hanya untuk breakfast sahaja ada serve makanan halal. Kalau korang rasa kenapalah tak keluar makan ke apa ke, jawapan saya, saya tak nak menyusahkan diri saya keluar masuk dan ke sana ke mari. Kalau ada geng takpe juga. Kalau sorang-sorang tak kuasa lah! Lagi pun nak tenang-tenang aje. Tak kalut!

Breakfast di Signature Hotel

Inilah jejantas yang perlu saya lalui dari hotel untuk menyeberang ke 1MK

Setelah tamat kelas modul selama 6 hari tu, tibalah masanya untuk kami siapkan project paper. Kami perlu dapatkan seorang calon yang sekurang-kurangnya mempunyai 2 orang anak. Dengan menggunakan data dan analisis dari calon ini, kami perlu sediakan sebuah financial planning report yang lengkap. Dalam report itu, perlulah memasukkan semua intipati modul yang telah dipelajari. Kalau ada yang tak masuk, kurang lah markah! Masa diberi lebih kurang sebulan setengah untuk siapkan report project paper itu.

Saya tiada masalah untuk mendapatkan calon memandangkan saya ada ramai kawan merangkap client takaful saya yang mempunyai sekurang-kurangnya 2 orang anak. Jadi, agak awal saya telah aturkan pertemuan dengan calon saya untuk mengumpulkan seberapa banyak maklumat dan data kewangan beliau yang saya perlukan untuk buat project paper. Walau bagaimanapun, perangai student tetap tak berubah dari dulu. Walaupun ada masa panjang, tetap nak pulun last minute juga. Berbaki 2 minggu untuk tarikh akhir penghantaran project paper, baru lah saya luangkan masa untuk buat project paper itu. Setiap malam tidur lambat. Waktu siang pun buat semua aktiviti cepat-cepat sebab nak buat project paper. Makan pun laju-laju. Memang kelam-kabut dan nampak gaya tak sempat siap sebelum deadline. Sampai masa untuk submit, memang saya tak siap project paper tu. Terpaksalah tangguh submission. Memang MFPC telah memberikan kebenaran untuk tangguh submission. Tangguh lagi seminggu. Tangguh memang boleh tangguh tapi kena denda lah RM50. Nasib baik ramai juga geng yang tangguh submission. So saya tak berseorangan. Nasihat saya kepada orang yang nak buat ShRFP-Capstone, untuk project paper ni bagilah masa 4 minggu untuk diri sendiri siapkan report dengan cantiknya. Kurang dari itu mungkin kita struggle sikit sebab benda ni semua first time kan kita nak buat? Kalau first time mestilah banyak langgar dinding dulu kan?

Bola nak tengok, project paper tak siap lagi

Dah selamat submit project paper dengan denda tu, maka sampailah masa untuk buat persediaan exam pula. Macam biasalah mesti tak baca-baca pun nota. Mesti takde nye ulang kaji beria-ia kan? Sampailah ke malam sebelum exam, tiba-tiba saya berbelah bahagi sama ada nak masuk exam ke tak esok ni? Saya tak buat sebarang persediaan. Kawan-kawan bincang dalm group pun saya tak dapat bagi idea atau jawapan dalam perbincangan sebab memang saya tak tahu apa jawapannya. Saya sekadar harapkan pemahaman dan ingatan saya ketika selak-selak modul ketika nak buat project paper. Apa yang saya ada baca dan lihat pada masa itu, itulah saja yang saya tahu. Selain tu, ada lah tengok soalan-soalan contoh dalam modul tu. Itu pun tak dapat cari jawapan tepat. Punya lah gelisah malam tu nak exam ke tak, lama-lama saya decide saya akan ambil saja exam tu. Sebabnya nak lulus pun perlu 50/100 saja. Takkan lah tembak pun sampai salah 50 kan? Akhirnya saya bulatkan hati, ambil saja exam itu. Lulus atau tak, kita redah dulu!

Masa diberi untuk jawap exam adalah 2 jam 30 minit. Tapi saya berjaya siapkan dalam masa 40 minit. Ini disebabkan saya terus naik rasa confident apabila baca soalan pertama. Soalan pertama itu begitu berbentuk teori sekali. Dari situ keyakinan saya naik mendadak dan terus jawap exam sampai habis. Ada lah juga beberapa soalan yang saya memang tak boleh jawab. Kita berserah je lah selepas usaha sebaik mungkin kan. Bila dah siap, saya beritahu invigilator yang saya nak tamatkan exam. Invigilator pun guide saya untuk akhiri sesi exam dan dapatkan result. Bila nampak perkataan PASS pada result slip saya tu, Alhamdulillah terus rasa lega betul! Habis 1 cerita. Tinggal tunggu result untuk project paper saja. Harap PASS lah juga! Result project paper akan diumumkan pada petengahan bulan Oktober nanti. Lebih kurang lagi sebulan lah dari sekarang. Doakan saya lulus ya!

Wajah gembira dah lulus exam

Begitulah sedikit sebanyak kisah perjalanan saya dalam usaha mendapatkan title Shariah Registered Financial Planner. Lepas ni mungkin nak sambung Master pula. Eh! Kat bawah ni ada saya share kan sedikit sebanyak tentang yuran untuk course ShRFP ni sebagai panduan kepada yang nak mendaftar. Harga berbeza-beza mengikut masa. Tapi yang kami punya batch, macam bawah ni lah. Saya rasa batch kami punya adalah antara yuran yang terendah. Total course fee RM2,883 :-

Saya sangat sarankan kepada sesiapa yang berada dalam bidang kewangan, eloklah ambil course ni. Selamat Maju Jaya!

Share This:

2 thoughts on “Perjalanan Ke Arah Shariah Registered Financial Planner”

  1. Hamba Allah Yang Maha Penyantun says:

    Assalamualaikum, boleh ke ambil ShRFP kalau tiada pengalaman dalam agen takaful

    1. Suri Fitriah says:

      Boleh. Tapi bukan yang capstone. Yang full course.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related Post